Nabi saw telah mengkhabarkan kepada sahabatnya mengenai golongan AhluLLah ini. Mereka adalah yang mencintai al-Quran al-Kareem. Mereka mendapat keistimewaan di sisi Allah di kalangan manusia2 lainnya. (mafhum hadith : riwayat Nasa’ie, Ibn Majah, dan Hakim)

Monday, July 26, 2010

DI MANA TUHAN DALAM HIDUP KAMU?

Salam sejahtera kepada pembaca sekalian. Bertemu lagi kita dalam Kalam Huffaz edisi ke-4. Kami di sidang redaksi mendoakan agar pembaca kekal dalam kerahmatan serta dapat terus mengecapi 2 nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada dua penuntut Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Perak, iaitu saudara Khairul Anuar bin Dahnan dan saudara Luqman Hafiz bin Mazlan atas kejayaan mereka berdua menjadi johan bagi kategori masing-masing dalam Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak yang berlansung baru-baru ini. Alfun Mabruk.
Minggu lalu,isu pemakaian tudung ‘meletup’ selepas Perancis dan Belgium mengumumkan usaha mengharamkan pakaian berpurdah termasuk burqa dan niqab. Ketika artikel ini ditulis, di Nantes Perancis, seorang wanita dikenakan denda 22 euro (RM74) kerana memandu dalam keadaan memakai niqab. Kemudian, seorang remaja perempuan di Kosovo Timur, Arjeta Halemi, menghadapi masalah dilarang bersekolah kerana memakai tudung kepala. Pihak sekolah memberitahu Arjeta pada Januari tahun lalu bahawa dia perlu membuka tudung kepala untuk kembali memasuki kelas. Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan dua tahun yang lalu dan pihak berkuasa tidak mahu unsur keagamaan dilihat di institusi awam. Bagaimananpun, Arjeta mewakili golongan memakai tudung yang mencabar peraturan seperti itu.
Inilah realiti yang berlaku di luar sana.Ketika penganut Islam di negara luar bersungguh-sungguh mempertahankan pemakaian menutup aurat sebagai satu tuntutan agama, kenapa masyarakat kita masih lebih Barat daripada Barat? Seolah-olah tidak mengetahui ianya satu perintah Allah. Daripada yang bergelar pemimpin, kemudian golongan cerdik pandai dan profesional, artis-artis hiburan dan orang-orang awam. Hendak dikatakan jahil, boleh pula bertudung sewaktu menunaikan umrah di Mekah. Boleh pula mengenakan tudung ketika majlis akad nikah dan sebagainya. Ini tidak termasuk mereka yang bertudung sekadarnya sahaja tetapi pakaian lain serta penampilan pula terlalu jauh dari apa yang dikatakan menutup aurat dengan sempurna.
Belum sampai seru, tidak mahu dikatakan hipokrit dan seribu satu alasan lain bisa sahaja digunakan. Harus ditanya, tudung itu budaya atau perintah Allah? Jika ia perintah Allah, di mana Allah dalam prioriti kamu? Mungkin jawapannya ialah kerana Tuhan bukan lagi prioriti utama. Sebab itu berani beralasan. Bermalas-malas melakukan perintah Tuhan.
Tulisan ini bukan ingin memberi tahu, tetapi sekadar ingin mencetus mahu. Mahu melaksanakan apa yang disuruh-Nya, dan mahu meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Adapun persoalannya kini, pentingkah TUHAN dalam hidup kamu?

(Artikel ini pernah disiar dalam Kalam Huffaz Edisi Keempat)

No comments:

Post a Comment