Nabi saw telah mengkhabarkan kepada sahabatnya mengenai golongan AhluLLah ini. Mereka adalah yang mencintai al-Quran al-Kareem. Mereka mendapat keistimewaan di sisi Allah di kalangan manusia2 lainnya. (mafhum hadith : riwayat Nasa’ie, Ibn Majah, dan Hakim)

Monday, July 26, 2010

TAKUTKAN ALLAH KETIKA SENDIRIAN

Saban hari kita melihat di dalam akhbar dan kaca televisyen perihal keruntuhan akhlak dan salah laku manusia. Perilaku dosa, gejala sosial, maksiat serta jenayah semakin hari semakin membimbangkan kita. Hingga ke satu tahap, persoalan demi persoalan akan mula bermain di minda. ”Mengapakah dia sanggup buat semua ini? Tidak takutkah pada azab Allah di akhirat kelak?
Dalam memperhalusi punca masalah ini, harus kita akui, ada sebilangan manusia yang membuat maksiat secara terang-terangan. Namun, majoriti manusia sebenarnya melakukan maksiat secara sembunyi-sembunyi, ketika bersendirian atau ketika tiada mata-mata manusia melihatnya.
Anak remaja yang kemaruk bercinta sehingga berzina, biasanya lebih sukakan privasi. Kakitangan syarikat yang pecah amanah, melakukannya secara sembunyi. Penguat kuasa undang-undang yang mahukan rasuah, akan memintanya dengan isyarat tersendiri. Pemimpin yang menyeleweng wang rakyat, lebih suka mengaburi perbuatan itu dengan pelbagai aktiviti dan transaksi agar tiada siapa yang curiga. Semua ini dan ribuan contoh-contoh lain menggambarkan manusia cuba menutupi kesalahannya dengan melakukannya secara rahsia. Secara sedar, dia melakukannya di hadapan Allah SWT, Tuhan yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap perilaku hamba-hambaNya.
Kita ini manusia yang sihat akal, Malah beriman kepada Allah SWT. Cuma lagi, tahap kepercayaan bahawa Allah SWT itu Maha Melihat tidaklah seperti yang diharapkan. Ringkas kata, para pembuat dosa dan pelaku maksiat ini tidak takutkan Allah SWT ketika mereka bersendirian. Berapa ramai dalam kalangan kita yang TAHU DI AKAL Allah itu Maha Melihat? dan berapa ramai pula yang SEDAR DI HATI bahawa Allah itu Maha Melihat?
Itulah sebabnya, Rasulullah SAW berpesan kepada kita agar sentiasa takut kepada Allah. Itulah yang dinamakan sebagai Takwa. Takwa itu adalah rasa takut kepada Allah SWT yang tertanam di dalam hati orang beriman.
Dan Nabi bersabda yang bermaksud :
"Bertaqwalah kepada Allah dimana sahaja kamu berada dan ikutilah perbuatan yang buruk dengan perbuatan yang baik, maka kebaikan kamu tadi dapat menghapus keburukan dan bergaul lah dengan manusia dengan budi pekerti yang baik" (Riwayat Imam Tirmidzi)
Akhir kata, marilah sama sama kita mencari dan berusaha untuk sentiasa bertaqwa kepada Allah setiap masa dan ketika, di mana sahaja kita berada. "Jagalah Allah (yakni suruhan dan laranganNya), nescaya Allah akan menjaga kamu, peliharalah Allah, pasti kamu akan dapati Dia di depan kamu". Wassalam.

(Artikel telah tersiar di dalam Kalam Huffaz Edisi Kedua)

No comments:

Post a Comment